Friday, April 19, 2013

.: DOA SEBAGAI PENGUBAH TAKDIR :.


Doa adalah pengharapan, untuk memohon segala kehendak mahupun keinginan yang tersirat daripada Allah s.w.t agar diperkenankan. Sebagai seorang muslim, teruskan berdoa setiap waktu, kerana doa itu mampu mengubah takdir Allah s.w.t. Jangan mudah berputus asa sekiranya apa yang kita pinta itu belum diberikanNya. Bersabar dan redha atas apa jua yang ditakdirkan buat kita. Sebagaimana firman Allah s,.w.t dalam Surah Al-Ghafir ayat 60 :
اُدْعُوْنِيْ أًسْتَجِبْ لَكُمْ      
Ertinya : “ Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankan (doa) kamu.

            Ayat di atas, menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah berjanji kepada orang yang memanjatkan doa akan diperkenankan. Janji Allah s.w.t adalah pasti dan tidak pernah dusta, kerana Dia Maha Menepati Janji. Allah Ta’ala dalam ayat di atas juga memerintahkan kita supaya berdoa dan Allah s.w.t menjanjikan kepada kita akan dikabulkan doa. Kemudian Allah s.w.t  berfirman dalam ayat yang berikutnya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Ertinya : “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”
                                                       
            Allah s.w.t yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah menjadikan permintaan hamba-hambaNya untuk keperluannya sebagai satu bentuk ibadah kepadaNya. Di sini, Allah s.w.t mencela orang yang tidak meminta dan berdoa kepadaNya dan menganggap dirinya sebagai orang yang menyombongkan diri atasNya.

            Selain itu, doa juga merupakan satu ibadah, berdasarkan hadith yang dibawakan juga dari Nu'man bin Basyir bahawa Rasulullah s.w.t telah bersabda, ( hadith Dhaif dalam Ta'liq 'ala Misykatul Masabiih  ) :
الدُعَاء هُوَ الْعِبَادَة
Ertinya : “Doa adalah ibadah”.

Imam Hafizh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari ( juzuk 11/halaman 98 ) mengatakan bahawa Syaikh Taqiyuddin Subki telah berkata : Doa yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah doa yang bersifat permohonan dan ayat berikutnya 'an ibaadatiy’ menunjukkan bahawa berdoa lebih khusus kepada beribadah. Ini bermakna barangsiapa yang sombong tidak mahu untuk beribadah, maka pasti dia juga sombong untuk melakukan doa.

Dengan demikian ancaman itu ditujukan kepada orang yang meninggalkan doa kerana sombong dan barangsiapa melakukan perbuatan itu, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Adapun orang yang tidak berdoa kerana sesuatu alasan, maka tidak terkena ancaman tersebut. Walaupun demikian, memperbanyakkan doa adalah lebih baik daripada meninggalkannya, sebab terdapat banyak dalil-dalil yang menganjurkan kita supaya berdoa.

Imam Hafizh Ibnu Hajar juga mengatakan bahawa Imam At-Thaibi telah berkata : Sebaiknya hadis Nu'man di atas difahami secara erti bahasa adalah berdoa. Ini untuk memperlihatkan sikap berserah diri dan menggagungkan Allah, kerana tidak dianjurkan dalam ibadah melainkan hanya untuk berserah diri dan tunduk kepada Pencipta yakni Allah s.w.t. Oleh kerana itu, Allah s.w.t telah mengakhiri ayat tersebut dengan firman-Nya : "Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. Dalam ayat ini orang yang tidak mahu tunduk dan berserah diri kepada Allah disebut orang-orang yang sombong, sehingga dikatakan berdoa mempunyai keutamaan di dalam ibadah, dan ancaman bagi mereka yang tidak mahu berdoa adalah hina dina.

Antara hadith yang menunjukkan perlunya kita berdoa :

 Dan Tirmidzi telah mengeluarkan hadith dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad s.a.w,( Musnad Ahmad Juzuk 2. No.Hadis 442. Sunan Tirmidzi. No.Hadis 3374. Sunan Ibnu Majah. No.Hadis 3827 ),  :

مَنْ لَمْ يَسْأَلِ اللهَ يَغْضَبْ عَلَيْهِ
Ertinya : “Barangsiapa yang tidak meminta kepada Allah pasti Dia murka kepadaNya.”

Dan hadith Anas dari Nabi Muhammad s.a.w bahawa ia pernah berkata dalam Al-ihsanu Bitartubu Sahih Ibnu Hibban oleh  Al-Amir Ala’uddin Ali bin Balbani Al-Farisi :

لاَ تُعْجِزُوْا فِى الدُعَاءِ فَإِنَّهُ لَنْ يَهْلِكَ مَعَ الدُعَاءِ أَحَدٌ
Ertinya : “ Janganlah kamu merasa lemah dalam berdoa, maka sesungguhnya sekali-kali tidak akan binasa seorang pun bersama doanya.”
                                                                                       (Hadith Riwayat Ibnu Hibban, Hakim dan Dhiya’)

Dijelaskan bahawa jangan kita berasa letih untuk menadah tangan untuk berdoa. Jangan hadirkan dalam hati kita perasaan malas untuk berdoa. Ini kerana Allah s.w.t sebenarnya menguji sejauh mana keimanan kita bila dalam kesempitan dan kesusahan. Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala-galanya. Hanya Dia yang Menentukan dan Dia jualah Yang Merancang tiap-tiap sesuatu itu.

Di sini juga, sebaik-baik doa adalah dengan membaca Al-Qur’an kerana di dalamnya mengandungi ubat-ubat hati dan penyembuhan dari semua penyakit.

 Sebagaimana firman Allah s.w.t :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Ertinya : “Hai manusia, telah datang kepadamu peringatan dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
                                                                                                                                ( Surah Yunus : 57 )


وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَارًا
Ertinya :“Dan kami turunkan dari Al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
                                                                                                                                  ( Surah Al-Isra’ : 82 )

Doa merupakan satu pengharapan yang dipohon oleh manusia kepada Allah. Doa memainkan peranan yang amat besar dalam kehidupan umat manusia. Melalui doa manusia akan dapat ketenangan dan berfikiran positif untuk mencapai kejayaan yang memuaskan dan cemerlang dalam apa jua perjuangan dan kehidupan manusia.

Maka, dengan doa dapat menjadikan manusia tidak akan kecewa di sebalik kegagalan-kegagalan yang dialaminya, malahan menyedari bahawa usaha dan bekerja keras perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Apabila tidak memperolehi apa yang dihajati, dia akan memujuk hatinya dengan berkata bahawa, setiap kejadian itu ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Disinilah kesabaran dan ketabahan hati menjadi perisai kepada diri sendiri. Melalui doa, manusia menyedari bahawa dia sebenarnya tidak keseorangan dalam melayari kehidupan ini. Dia sentiasa ada Allah sebagai Tuhan Yang Maha Agung, tempat dia berdoa, mengadu masalah kehidupan dan meminta perlindungan untuk keselamatan di dunia dan juga di akhirat kelak.

Berdoa ertinya memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah s.w.t, yang Maha Pemurah. Allah s.w.t menyuruh orang-orang Islam berdoa atau meminta sesuatu kepada-Nya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang bermaksud : “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina".

Maka, sesunggguhnya doa itu memberi manfaat terhadap bala bencana yang telah berlaku dan masih belum berlaku dan tidak menolak qada Allah melainkan doa, maka perlulah kamu berdoa agar dijauhkan dari segala musibah yang mana kita tidak mengetahuinya.

            Ingatlahdoa merupakan senjata bagi umat Islam untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Maka, dengan berdoa kita dapat berinteraksi dengan Allah s.w.t secara langsung. Segala takdir dan penyakit datangnya daripada yang Maha Esa yakni Allah s.w.t. Oleh itu, untuk mengubah takdir dan juga mengembalikan kesihatan, kita perlulah kembali kepada yang mendatangkannya. Jelaslah, perlunya kita untuk berdoa kerana  kita adalah hambaNya yang lemah dan sentiasa berhajat kepada Pencipta.

No comments:

Post a Comment